Ad Code

Ticker

6/recent/ticker-posts

Hati Meruntun Melihat Bidadari Kecilku Menangis


5 Februari 2013 - Badan Aisyah panas. Cepat-cepat ibu tampal 'kool fever' di dahinya. Dengan selamba pula, Aisyah menarik pelekat sejuk itu dengan wajah agak tidak puas hati. Ibu segera mencapai pelekat sejuk itu dan menampal pula di belakang badan Aisyah. Senyap dan Aisyah leka bermain. Gerak- geri dan tingkah nya seakan tidak demam. Ligat bergerak ke sana dan ke mari dengan walker orennya. Sesekali terdengar mulut comelnya mengomel sendirian.


"Pa..pa..pa..pa.."

"Babaiiii..."

Merdu sungguh kedengaran omelan si Aisyah.

Ibu buru-buru memakai tudung. Usai memakai tudung, buru-buru pula memasukkan barang Aisyah ke dalam kereta. Meletakkan Aisyah ke kerusinya. Masih kedengaran suara kecil itu mengomel.

"pa pa pa..babaiii.."

Meninggalkan Aisyah dengan pengasuhnya. Meskipun tidak sihat, Aisyah kelihatan ceria. Jam 6 petang bergegas pulang. Suhu badan Aisyah tetap panas. Selepas maghrib bersiap-siap pula untuk ke klinik. Aisyah perlu dibawa ke klinik untuk pemeriksaan 9 bulan.

Doktor memeriksa suhu badan Aisyah. Ternyata panas kerana suhu yang tercatat pada termometer adalah 38.6!

Berat : 7kg.
Tinggi : 71cm.
BMI. 13.5.

Memang keputusan yang tidak cantik. Berat Aisyah kalau diikut pada graf adalah tidak ada masalah. Cuma ketinggian agak meningkat.

Malam itu, ibu tidak dapat tidur nyenyak, hanya tidur-tidur ayam. Risau sekiranya suhu badan Aisyah meningkat secara tiba-tiba. Aisyah tidur lena meskipun kadang kala terdengar dia berbunyi seakan tidak selesa. Ibu sapu air asam jawa ke kepala Aisyah dah badannya. Tiap kali terdengar suara Aisyah, ibu bangun. Risau..ye memang ibu risau.


6 Februari 2013 - Ibu bekerja seperti biasa. Terlalu banyak kerja yang perlu disiapkan sebelum kilang shutdown sempena raya cina. Malah terpaksa bekerja lebih masa demi tugas (aiceh..).

Pengasuh tidak menelefon ibu, bermakna Aisyah tidak ada masalah.

Jam 7 malam, ibu keluar dari kilang dan bergegas pulang ke rumah. Hujan lebat ibu redah. Demi anak ibu, kekuatan badan ibu seakan menakjubkan. Ibu sentiasa berdoa agar ibu sihat untuk menjaga orang-orang yang ibu sayang. Ibu belum jatuh sakit selepas Aisyah dilahirkan. Alhamdulillah.

Sampai sahaja di rumah, ibu meluru ke dapur untuk menanak nasi dan membongkar lauk yang boleh dimasak di dalam peti ais. Memasak lauk makan malam ala kadar, segera ke bilik mandi untuk membersihkan badan. Mandi laju-laju mengejar waktu maghrib yang semakin singkat. Usai solat maghrib, segera menyarung tudung. Capai dompet, kunci rumah, telefon bimbit dan kunci kereta.

Memandu ke kedai sensei untuk membeli susu formula Aisyah.

Susu formula Dumex Mamex Gold berwajah baru dan bernama baru. Mamex Cherish. Harga baru!!! Dari RM119 kepada RM128.80. Wahhh...mahal sungguh!



Beli juga walhal terasa kemahalannya. Segera pula ke rumah pengasuh. Sampai-sampai, telingaku disumbat pula dengan cerita-cerita Aisyah. Hari ini, Aisyah meragam. Merengek. Makan kurang, minum susu pun kurang. Susu yang kukira sepatutnya sudah habis masih berbaki lagi.

Pulang ke rumah, Aisyah bermain seperti biasa sehinggalah....

Aisyah meraung tiba-tiba. Ibu pujuk. Jalan di segenap pelusuk rumah. Menangis juga. Ke dapur, mengetuk segala cawan, pinggan di rak. Senyap sekejap. Menangis lagi. Ibu sumbat susu. Tidak mahu. Sumbat puting. Diluahnya bersama jejehan air liur. Menangis dan terus menangis. Menguap pula. Sambung lagi menangis. Kemudian, muntah susu. Menangis lagi. Ibu pegang kepala Aisyah. Tidak panas. Aisyah muntah lagi. Kahak pula. Menangis dan menangis lagi. Ibu buntu.

Dukungan berpindah ke ayah pula. Tetap menangis. Puas ibu memujuk. Menepuk tangan. Menyanyi, berselawat. Tidak juga diam.

Ibu mahu menangis sama.

Cuba mencari alternatif lain. Buka lampin pakai buang. Tidak berak. Tukar lampin, sapu minyak yu yi. Tidak diam juga. Aisyah menguap lagi. Ibu dodoi hingga Aisyah terlelap. Lelap seketika cuma. Celik mata, menangis sekuat hati lagi. Arghh..ibu buntu!

Penyudahnya, ayah menghidupkan enjin kereta. Ibu dukung Aisyah masuk ke dalam perut kereta. Tetap menangis dengan hiba. Ayah bawa kereta pusing-pusing hingga Aisyah terlelap.

Malam itu ibu tidak tidur lena lagi. Hanya tidur-tidur ayam. Sesekali Aisyah merengek. Ibu tepuk punggung Aisyah. Aisyah tidur. Sesekali Aisyah menangis lagi. Ibu peluk, ibu dodoi pula hingga Aisyah tidur. Begitulah sepanjang malam. Aisyah tidak mahu minum susu. Aisyah kerap menangis sambil mulut kecil itu ternganga-nganga. Ibu peluk dan peluk. Ibu dodoi dan dodoi hingga Aisyah tidur semula. Mata ibu memang rabak. Tidak mengapa..

Sedar-sedar sahaja, hari sudah pagi. Jam 6 pagi. Aisyah tiba-tiba menangis lagi. Ibu tepuk punggung Aisyah. Dia tenang. Diam. Ibu tinggal untuk ke bilik mandi. Keluar dari bilik mandi, Ibu lihat Aisyah bermain sendiri. Ibu biarkan dan segera mengerjakan solat Subuh. Ayah pula bersiap-siap untuk ke tempat kerja.

Jam 6.30 pagi, setelah ditinggalkan Ayah, Aisyah menangis lagi. Meraung sekuat hati lagi. Ibu panik. Alamak!!!

Bermacam-macam ibu buat untuk memujuk Aisyah. keluar dari bilik, bawa ke ruang tamu. Buka tv. Nangis juga. Masuk bilik tengah..alahai tidak menjadi. Ke dapur pula mengetuk-ngetuk cawan. Diam sekejap. Ibu buat susu pula. Aisyah tidak mahu minum walhal dia hanya minum tidak sampai 4auns malam tadi. Setelah sesi memujuk dan mendodoi selama setengah jam, ibu baringkan Aisyah ke tilam dan menukar lampin pakai buang dan menyapu minyak yu yi lagi. Mulut Aisyah ibu sumbat puting. Lama kelamaan, Aisyah senyap dan tertidur. Sesekali Aisyah merengek dan tangan kecil itu menarik-narik baju ibu seakan tidak mahu ditinggalkan.

Hari ini ibu terpaksa mengambil cuti!

Jam 8.15 pagi, pengasuh menelefon Ibu kerana Aisyah tidak dihantar hari ini. Pengasuh memujuk ibu supaya jangan susah hati. Perkara biasa pada bayi yang mahu tumbuh gigi. Alahai..patut lah Aisyah menangis sambil membuka mulut. Kesiannya...

Jam 9 pagi, pengasuh telefon lagi. Menyuruh ibu membeli gripe water. Kemudian, hantar Aisyah ke rumahnya untuk diurut sedikit. Ibu iyekan. Ketika itu Aisyah sudah bangun dan kelihatan ceria. Bermain seperti biasa. Malah sudah bersarapan pagi. Alhamdulillah.

Jam 11 pagi, Aisyah menguap. Mengantuk. Ibu pun. Sama-sama tertidur di ruang tengah. Terjaga dari tidur apabila bunyi bising dari rumah sebelah (ubah suai rumah). Aisyah menangis kerana tidurnya tergannggu. Jam sudah 12.15 tengahari. Ibu cuci muka, gosok gigi. Bersiap ala kadar. Ke kedai sensei untuk membeli gripe water. Kemudian terus menghantar Aisyah ke rumah pengasuh.

Pengasuh pula berpesan. Jangan risau pasal Aisyah. Pergi sahaja kerja. Dia boleh jaga. Ibu keberatan tetapi mengenangkan diri yang agak lesu dan kepenatan, ibu tinggalkan Aisyah untuk sementara. Ibu pulang ke rumah. Tidur. Untuk mengembalikan tenaga.


Berjaya duduk dengan stabil ketika 8 bulan + 3 minggu (lambat sikit almaklum keluar awal..)


Memang anak ayah..



Nota Kaki : Semuanya selamat. Hari ini Aisyah kelihatan agak ceria..

Catat Ulasan

0 Ulasan

Ad Code