Sering kali hati tertanya-tanya, adakah aku yang semakin sensitif atau dia yang seakan tidak mempedulikan aku? Usia kandungan yang menginjak 35 minggu kadang-kala menjadikan aku agak cerewat. Semua kurasa serba tidak kena, mungkin kerana kudratku yang semakin terbatas untuk melakukan sebarang kerja. Apatah lagi kerja rumah yang memang kukira tugasan seorang isteri. Memasak, membasuh, mengemas rumah dan banyak lagi.
Bekerja seharian menjadikan aku cepat lelah. Pulang ke rumah hari sudah rembang. Sekiranya aku 'stay back', kadang kala saat azan berkumandang baru lah aku sampai ke rumah. Memandu pergi dan balik dari tempat kerja kian melelahkan aku. Ditambah pula dengan kesesakan lalu lintas. Kaki seakan kaku untuk menekan dan mengawal pedal clutch.
Check-up – 34 Minggu (09/04/2012 bersamaan hari Isnin).
1- Timbang berat – naik 300gm je. Berat badan sekarang 53kg.
2- Tekanan darah – 110/60.
3- Air kencing – bersih.
4- Kepekatan darah – 11.8 HB. Normal. He3.
5- Tinggi rahim – 34cm.
6- Scan kedudukan bayi – normal. Doktor kata, kepala dah kat bawah. Jantung pun ok. Harap anak ibu tidak berpusing-pusing. Ibu risau kedudukanmu yang menyongsang nanti.
8- Ubat-ubatan – Iron, B-kompleks, Asid Folik & Vitamin C. Makan hari-hari.
Tidur malam sering tidak lena dan terganggu. Oh..anak ibu. Ibu tetap sayang kamu. Kadang -kala perasaan takut dan berdebar-debar sering menganggu. Acapkali kubertanya kepada rakan-rakan sekerja. Bilakah saat mereka melahirkan anak? Minggu keberapa? Jawapan yang mereka berikan sering kali membuat jantung ku berdebar. Jawapan sudah pasti tidak sama. Minggu ke-34. Ada pula minggu ke-37 dan ada pula minggu ke-38.
Saat itu pasti tiba. Dan saat itu akan tiba tidak lama lagi. Wahai suami ku, bersedialah kamu untuk menjadi seorang ayah. Semoga aku mampu untuk menjagamu wahai anakku..amin..
0 Ulasan
Terima kasih sudi membaca dan meninggalkan komen.