Ad Code

Ticker

6/recent/ticker-posts

Cerpen - Tiada


Nafas seakan putus-putus, namun pelarian harus diteruskan. Kaki terus berlari sambil kepalanya tercangak-cangak mencari arah. Hanya suasana kelam yang menyelubungi. Seketika, dia terhenti di tengah alam gelap. Tercungap-cungap, manarik nafas semahunya seakan oksigen di dalam badan sudah kehabisan. Tekak mulai terasa kering. Peluh yang menitik terus menitik seakan hujan renyai. Baju yang dipakai sudah lencun. Sesekali tangan kanannya menyeka peluh yang menitik-nitik ke muka. Penat menyeka pelun, dia tertunduk-tunduk pula mencari kekuatan.

Kedengaran satu suara sayup dari kejauhan. Dia gelabah. Suara tadi yang didengarnya mula bergema kembali. Suara yang mengejarnya itu semakin hampir dan seakan tahu keberadaannya walaupun dalam suasana malap. Dia berlari lagi. Namun dek kepenatan, lariannya tidak sekuat mana. Dia tercungap-cungap kembali.

Digagahkan jua untuk berlari. Setapak. Dua tapak. Tiga tapak. Dan langkahnya semakin laju seakan ada magnet yang menarik untuk dia dia terus berlari. Dari kejauhan, matanya dapat menangkap satu jalur cahaya putih. Seakan satu petanda agar dia terus maju ke arah itu. Penat tadi hilang bersama semangat yang tiba-tiba muncul. Jalur cahaya yang kelihatan seakan satu harapan buatnya.

Saat kakinya hampir mencecah sempadan cahaya putih, dia disentap dari belakang. Kuat benar tarikan itu hingga terasa dirinya terpelanting jauh. Dia terpelosok entah di mana. Sendi-sendi terasa sakit benar. Dia meringkuk menahan sakit. Arghhh...kenapa jadi begini tiba-tiba?



“Kau mahu ke mana? Kau mahu lari dari aku?”



Satu sergahan berbaur marah. Hilang segala kesakitan yang ditanggung dek terkejut. Dia terpinga-pinga. Matanya melilau mencari kewujudan suara parau itu.



“Kau tak kenal aku?”
Suara itu mengendur. Seakan sayu.



“Kenapa kau macam tak kenal aku?”
 Suara itu semakin sayu dan merintih hiba.


Dia yang masih dalam ketakutan hanya berdiam diri. Membatukan diri sambil matanya memerhati sekeliling. Tiada apa yang kelihatan selain kelam. Sempadan cahaya putih hanya sepelaung untuk dikejar. Kemudian baru dia tersedar dek kesakitan yang mula menjalar. Tangannya pantas meraba-raba badan yang mulai terasa sengal di sana sini.

Rintihan semakin mendayu-dayu. Entah kenapa dia takut dengan rintihan itu. Mahu bersuara dia takut. Entah apakah bendanya. Bayang pun tidak kelihatan, malah memandai-mandai pula bertanyakan macam-macam padanya.



“Kau nak tinggalkan aku? Kau nak tinggalkan aku?” Tiba-tiba suara rintihan bertukar parau kembali.



Dia diam lagi.



“Kenapa kau nak tinggalkan aku?” Suara parau mengendur.


Dia tetap membisu. Gentar untuk menjawab. Suara itu memang wujud namun jasadnya tidak kelihatan dek mata kasar. Dia berdiri tegak. Membetulkan sendi yang difikir longgar akibat terpelanting tadi.



“Kau memang mahu tinggalkan aku?”



Tanpa menghiraukan suara itu, dia berlalu. Melangkah dengan berhati-hati sambil matanya melilau memerhati sekeliling. Tiba-tiba suara parau tadi hinggap ke telinga kirinya.



“Kau mahu ke sana?”



Dia berhenti melangkah. Pantas berpaling memerhati ke sebelah kirinya. Tiada apa yang kelihatan. Dia menarik nafas panjang dan kemudian menghembusnya perlahan.



“Ya.” Jawabnya pendek dan menyambung langkah yang terhenti tadi.


Suara itu merintih. Mendayu-dayu. Begitu sedih kedengaran, entah apa yang diratapnya. Semakin lama suara rintihan itu semakin menjauh. Dia berpaling seketika memastikan keadaan selamat tanpa gangguan. Setelah yakin suara itu semakin jauh, dia berlari sepantas mungkin untuk ke sempadan cahaya putih. Dia terus berlari tanpa menoleh lagi dan yakin itulah arahnya.



Bersambung..










Catat Ulasan

0 Ulasan

Ad Code