Bab 1
Dentuman pintu di bilik atas membuat Anita yang sedang asyik menonton televisyen tersentak. Dia hanya menggelengkan kepala sambil matanya masih merenung skrin televisyen. Berita jam lapan malam itu adalah santapan hariannya setelah seharian penat bekerja. Anita tidak mahu ambil pusing dengan gelagat teman serumahnya itu. Bukan tidak mahu ambil berat tetapi sudah lali. Pasti baru lepas bertengkar dengan buah hati. Tumpuannya kembali berpusat di skrin televisyen. Hampir setiap hari berita yang disiarkan adalah kes pembunuhan. Dunia hari ini mungkin sudah hilang sifat keperimanusiaan. Nyawa seakan sesuatu yang tiada nilai.
“Kau sudah makan?” Sapa satu suara dari arah dapur.
“Hish..gugur jantung aku. Aku ingat kau dah tak nak keluar bilik tadi.” Sahut Anita bersahaja.
Zara menghampiri Anita yang sedang asyik menonton televisyen. Sebiji mug berisi milo panas diletakkan di atas meja kopi dan satu lagi disuakan kepada Anita. Anita pantas saja menyambut dan menyuakan milo yang masih berasap ke mulutnya. Tekak terasa cukup nikmat seakan sudah sebulan dia tidak mencicip milo bancuhan Zara. Zara hanya membisu dan tangannya pantas mencapai akhbar hari ini yang telah Anita letak di bawah meja kopi.
Suasana kembali sepi. Hanya kedengaran suara pembaca berita dari televisyen yang dipasang. Masing-masing melayani dunia sendiri. Zara sudah sedia maklum akan perangai teman serumahnya yang tidak gemar diganggu ketika menonton berita. Zara yang sedang asyik menyelak helaian akhbar tiba-tiba tersentak kerana telinganya berdesing secara tiba-tiba.
Kedua belah telinga ditekup dan mata terpejam rapat. Zara hampir sahaja menjerit akibat tidak tahan dengan desingan yang amat nyaring itu. Seketika kemudian, desingan yang memekakkan itu beransur-ansur hilang. Zara menarik nafas lega. Mata yang tadi terpejam dibuka serta merta. Dia memerhati sekeliling. Sepi terus mencengkam dunianya tika itu. Televisyen yang terpasang juga tidak mengeluarkan sebarang suara. Matanya berkalih kepada Anita yang duduk di sofa sebelah yang terletak berhadapan dengan televisyen. Dilihat Anita tidak bergerak walau sedikit pun.
Masa seolah terhenti. Zara terkaku di tempat duduknya. Hanya selepas beberapa ketika, dia menghembuskan nafas yang amat berat. Dia beristighfar beberapa kali. Peluh di dahi mula merintik. Suhu yang biasa itu terasa bahang gara-gara kerisauan yang mencengkam dada. Di saat itu Zara terpandang satu jaluran cahaya melalui cermin tingkap yang hanya dilapisi sehelai langsir. Perasaan ingin tahu memaksa dia bangun menuju ke tingkap. Langsir diselak. Pekat gelap malam membatasi pandangannya. Tiada perubahan diluar. Sama saja keadaanya seperti sebelum dia masuk ke rumah tadi.
Langsir diturunkan kembali. Saat dia mahu berpaling, dirasakan ada satu kelibat di belakangnya. Zara seakan putus nafas. Berkira-kira mahu berpaling atau tidak. Peluh jantan yang mula menitik diseka perlahan-lahan. Kelibat itu hanya memerhatikan Zara yang dalam kekalutan. Dia tahu gadis itu dalam ketakutan dan dia perlu melawan ketakutan itu. Peredaran masa sengaja dihentikan olehnya bertujuan untuk bersemuka dengan gadis itu. Selama ini dia hanya memerhatikan gadis itu dari jauh dan dia mula menyusun strategi. Malam ini, dia cuba untuk mejalankan strategi pertamanya.
“Zara..”. Bicara makhluk itu perlahan.
Zara yang agak terkejut apabila namanya diseru segera berpaling. Seakan terkaku dia apabila menatap wajah makhluk di hadapannya itu. Ciptaan apakah ini? Bola matanya seakan tidak mahu berganjak dari terus menatap makhluk itu. Zara terpesona dan berkhayal dalam dunianya sendiri. Dia seakan tidak mahu berpaling dari terus menatap wajah itu. Lunak sungguh suara yang menyeru namanya sebentar tadi. Dalam keasyikan itu, tiba-tiba deruan angin menampar kasar wajahnya. Zara tersentak.
Suara pembaca berita dari televisyen yang terpasang mulai kedengaran. Bunyi deruman kenderaan di luar rumah turut mulai kedengaran. Suasana yang sunyi sepi tadi mulai menjadi hingar bingar. Zara terpinga-pinga dengan perubahan masa yang mendadak itu. Baru sebentar tadi suasana sunyi mencengkam sekeliling dan di hadapannya berdiri tegap satu makhluk yang cukup sempurna. Kini, makhluk itu sudah tiada.
“Zara, kau buat apa kat tepi tingkap tu?” Anita sedikit kehairanan melihat teman serumahnya yang terkebil-kebil sendirian. Baru sebentar tadi Zara duduk di sofa bersebelahan dengannya, tekun menyelak helaian akhbar.
“Tak..aku..aku betulkan langsir ni ha..kau la lupa nak turunkan langsir ni.” Zara memberi alasan. Kemudian, kakinya melangkah laju kembali ke sofa. Punggung dihenyak kasar.
Fikiran Zara mula tidak tenteram. Dia mula diamuk pelbagai persoalan yang jawapannya dia sendiri tidak pasti. Apakah yang berlaku sebentar tadi hanya lamunan mahupun cuma khayalannya? Tapi dia bukanlah seorang yang kuat berangan-angan. Dia tidak gemar membaca novel apatah lagi berimaginasi seperti seorang penulis.
“Nita, kau takde rasa apa-apa yang pelik ke tadi?” Zara mengutarakan soalan.
“Pelik? Apa yang pelik? Pelik tengok kau tiba-tiba rajin betulkan langsir ada la”. Jawab Anita sambil tergelak kecil. Zara hanya tersengih.
“Kau bergaduh lagi dengan Zamir? Kali ni apa pulak puncanya?” Pertanyaan Anita dibiarkan sepi. Anita yang sedang menanti jawapan mengangkat muka, memandang tepat ke arah Zara. Dilihat Zara sedang mengelamun. Kerutan di dahi jelas kelihatan. Apa pula masalah teman serumahnya kali ini? Zara sering menceritakan kepadanya masalah yang melanda hubungan antara dia dan Zamir.
Zara dan Zamir sudah berkawan sejak di zaman universiti lagi. Sekarang, masing-masing sudah punya kerjaya tetap. Sejak kebelakangan ini, hubungan mereka menjadi dingin gara-gara pihak ke tiga. Tetapi, Zamir bermati-matian menyangkal tuduhan itu. Anita hanya menjadi pendengar. Dia tidak mahu terlalu menyibuk dengan masalah mereka. Dia tidak mahu dituduh batu api. Ketampanan Zamir mungkin menjadi satu sebab dia digilai ramai gadis. Ditambah pula dengan kerjayanya sebagai jurutera, maka berebut la gadis yang ingin mencuba nasib. Zara pula seorang gadis yang ayu dan manis. Berkulit cerah dan berlesung pipit. Berperibadian agak tegas.
Televisyen mula menayangkan drama pula selepas berita tamat. Tanpa sedar, jam sudah menginjak ke pukul sepuluh. Zara sudah mula menguap meskipun kebiasaannya dia gemar tidur lewat. Anita masih lagi menonton televisyen. Drama kekeluargaan yang dipaparkan langsung tidak menarik minat Zara. Bayangan wajah itu masih segar dalam ingatannya. Ciptaan yang dikira terlalu sempurna pada pandangan mata. Bagaimana susuk tubuh yang tegap dan berwajah tampan itu boleh tahu namanya? Bagaimana pula dia boleh masuk ke rumahnya dan kemudian lenyap begitu saja seperti angin lalu? Sedang dia asyik berfikir, baru dia tersedar yang jejaka tampan itu memakai busana zaman purbakala. Cukup segak.
* * * * *
bersambung...
0 Ulasan
Terima kasih sudi membaca dan meninggalkan komen.