Sudah satu jam dia merenung cermin di hadapannya. Cermin itu membiaskan wajahnya yang lesu. Rambutnya yang panjang mencecah pinggang dibiarkan tidak terurus tidak bersikat. Matanya kelihatan bengkak kerana terlalu banyak mengalirkan airmata.
Hari ini dia tidak menangis tetapi hanya tercatuk lesu di depan cermin almari solek di dalam biliknya. Biliknya tidak berkunci kerana tidak boleh dikunci. Tombol pintu sudah ditanggal oleh bapanya sejak 2 bulan yang lalu. Katil yang tidak berkemas dibiarkan saja.
Semalam dia tidur diigaui mimpi-mimpi ngeri yang sama. Tidurnya tidak lena. Dia meracau-racau dalam tidur dan kemudian menjerit. Dia hanya tersedar dari mimpi ngeri setelah dibangunkan oleh ibu. Kemudian dia rasa seluruh tubuhnya basah bermandikan peluh. Dia akan menangis ketakutan sambil memeluk ibu erat. Ibu akan memujuk lembut sehingga tangisannya bertukar menjadi sisa-sisa sendu.
Penat menangis, dia tertidur semula dengan ditemani ibu. Ibu setia menanti sehingga dia lena. Sambil tangan ibu lembut membelai rambutnya. Diusap dengan penuh kasih sayang. Sesekali ibu menyeka titis-titis suam yang meluncuri pipi. Dia pulas dalam pelukan ibu. Perlahan-lahan ibu meleraikan pelukannya dan bangkit meninggalkan dia sendirian.
Bunyi ketukan pintu tidak menghalang dia untuk terus merenung cermin. Telinganya mampu mendengar tetapi dia tetap tidak mahu berkalih. Ibu masuk sambil menatang dulang. Sarapan pagi untuk dia yang termenung itu. Dulang sarapan diletakkan di atas meja belajar lalu ibu melangkah ke arah cermin solek tempat dia termenung.
Ibu mengusap lembut ubun-ubun kepalanya kemudian dikucup penuh kasih. Wajah lesu itu dibelai sambil ibu turut merenung cermin. Seketika kemudian, ibu beralih ke arah katil yang kelihatan berselerak. Ibu pantas mengemaskan katil dia. Tingkap yang tertutup juga dikuak bagi memberi ruang udara segar pagi itu singgah ke kamar anaknya itu.
2 bulan yang lalu dia tidak begitu. Dia seorang anak yang periang. Kini, rumahnya kian sunyi tanpa gelak tawa dia. Dia tersepit dalam igauan semalam. Igauan yang menjadikan dia seorang yang murung dan tidak tahu menguruskan diri lagi.
Semua ini gara-gara seorang lelaki binatang yang menzalimi dirinya. Di saat hujan lebat dan dia kebasahan tika itu sambil menolak basikal ke tepi pokok. Hadir seorang lelaki yang dikira dapat membantunya tetapi ternyata lelaki itu berjiwa binatang. Dia dinodai ketika hujan turun mencurah-curah. Langsung tangisan dan jeritannya tenggelam dalam hujan lebat.
Lelaki jahanam itu telah ditangkap dan telah diadili tapi keceriaan di wajahnya tidak kembali lagi. Ibu dan bapanya sudah pasti merindui senyuman dan gelak tawa dia. Tetapi dia tidak mahu senyum lagi. Hanya termenung, termenung dan termenung. Merenung cermin.
0 Ulasan
Terima kasih sudi membaca dan meninggalkan komen.