Ad Code

Ticker

6/recent/ticker-posts

Hati Yang Terluka – Salah dia kah?



     Dia mundar mandir di ruang tamu. Sesekali dia melontarkan pandangan keluar tingkap. Sudah hampir 2 jam dia begitu. Orang yang dinanti tidak juga muncul-muncul. Penat berdiri, dia duduk. Sambil matanya menjeling-jeling ke luar tingkap. Hatinya sedikit gusar dengan perubahan suaminya kebelakangan ini. Akhbar di atas meja dicapai lantas diselak sehelai demi sehelai. Sehingga helaian terakhir, suami yang dinanti tidak juga muncul. Lauk yang sudah terhidang di atas meja makan sudah mula sejuk. Perutnya sudah berkeriuk minta diisi. Dia tiada kuasa untuk menanti lagi. Lauk yang tadi masih berasap sudah hilang asapnya. Dia bingkas bangun dari sofa di ruang tamu. Melangkah longlai ke meja makan. Kerusi makan ditarik perlahan lantas melabuhkan punggung. Pinggan nasi yang ditelangkup di atas meja makan diterbalikkan kemas. Nasi diceduk sesenduk. Lauk yang dikira cukup sedap itu dipandang sayu. Hasil air tangannya yang penuh kasih sayang buat suami tercinta. Dia terpaksa akur untuk makan sendirian lagi hari ini. Sesuap demi sesuap nasi masuk ke mulutnya. Kunyahannya perlahan seakan menanti dan berharap suami pulang untuk santap bersama.

     Hari ini hari ahad, cuti bagi yang bekerja. Suaminya juga cuti. Tetapi sejak suaminya keluar pagi tadi, suaminya belum juga pulang-pulang. Jam sudah menginjak ke angka 3 petang. Hasratnya untuk berjalan-jalan bersama suami tercinta terpaksa dipendamkan saja. Dia berbaring di atas sofa panjang sambil menonton televisyen. 'Kehilangan' suami dilupakan buat seketika. Seketika kemudia, matanya sudah pun terlelap. Dia terjaga dari tidur apabila terdengar bunyi pintu dibuka. Terjengul wajah suami tercinta apabila pintu terbuka. Tanpa rasa bersalah, suaminya masuk ke rumah. Dalam terpisat-pisat, dia mengukir senyum.

     “Abang dah makan? Lauk dan nasi ada di dapur.” Sapanya lembut.

     Suami hanya tersenyum nipis kemudian mengangguk. Dia melihat jam di sudut dinding. Menunjukkan jam 5 petang. Hatinya berdetik sayu. Kemanakah suaminya pergi? Pagi keluar, petang baru pulang. Dia hanya membisu saat melihat suaminya menjamah makanan yang dimasaknya. Tanpa sebutir kata, suaminya terus menyuap makanan ke mulutnya. Dia hanya menjadi pemerhati dari jauh sehingga suapan terakhir. Selesai makan, suaminya mengangkat pinggan ke sinki untuk dibasuh. Dia dapat mendengar bunyi pintu peti sejuk dibuka, kemudian bunyi air dituang ke dalam gelas. Terdengar juga bunyi tegukan laju. Seketika kemudian, terdengar juga bunyi gelas dibasuh dan bunyi gelas berlaga apabila gelas yang sudah dibasuh diletakkan di rak bersama-sama gelas lain.

     Dia masih lagi termangu di sofa panjang. Suaminya sudah berlalu ke bilik beradu di tingkat atas tanpa menoleh ke arahya. Dia sedikit kecewa. Tiada sapaan keluar dari mulut suami tercinta. Dia hanya merenung kosong ke arah meja makan yang telah hilang serinya. Sayu di hati kian terasa seakan dihiris belati tajam. Sejenak dia tersedar dari lamunan kosong. Asar sudah berlalu dan dia perlu segera menghadap Tuhan Yang Maha Esa. Dia bingkas bangun, melangkah perlahan menuju ke bilik tidur. Saat pintu dibuka, dia melihat suaminya sedang menukar pakaian sukan. Memakai t-shirt biru dan bertrack suit hitam. Suaminya menoleh ke arahnya seraya berkata.

     “Abang nak gi main bola. Dah janji dengan kawan-kawan. Diorang pun dah tunggu tu..”

     Dia hanya mengangguk perlahan. Tanpa sepatah kata, dia masuk ke bilik mandi untuk mengambil wuduk. Solat perlu disegerakan. Dengan penuh tawaduk, dia membaca doa hadas kecil. Terasa sungguh nikmat tatkala air wuduk mengenai kulit mukanya. Kemudian tangan, sebahagian kepala, telinga dan kaki. Usai mengambil wuduk dia menadah tangan, membaca doa selepas ambil wuduk. Sewaktu kakinya melangkah keluar bilik mandi, telinganya menangkap bunyi deruan enjin kereta suami. Suaminya sudah keluar lagi. Tanpa mempedulikan perasaaannya tika itu, dia segera membentang sejadah dan memakai telekung. Dia perlu berkongsi rasa hati dengan Sang Pencipta.

     Usai solat, dia menadah tangan memuji Yang Maha Agung. Meminta doa seadanya. Mensyukuri segala nikmat yang telah Dia berikan. Lama dia berteleku menghadap kiblat. Terasa jiwa yang kosong kembali tenang. Hidungnya seakan-akan tercium udara segar. Fikirannya terasa lapang. Semangat seakan kembali. Telekung ditanggalkan dan disidai di penyidai dengan kemas. Telekung itu lah yang diberikan oleh suaminya. Begitu juga sejadah berwarna merah itu. Hantaran sewaktu pertunangan mereka 5 tahun lepas. Setahun selepas pertunangan, mereka diijabkabulkan. Masih segar dalam ingatan, sewaktu taklik diucap. Saat dahinya pertama kali dikucup oleh seorang insan bernama suami. Masih terasa basah bibir suaminya saat itu. Dia tersenyum sendirian di bibir katil tatkala kenangan itu datang menerjah.

     Seketika, dia menggeleng-gelengkan kepala, segala kenangan manis diusir pergi. Dia perlu 'pulang' ke alam realiti. Meniti hari-hari penuh duri. Duri yang halus dan kecil tapi cukup pedih dan boleh berdarah apabila tertusuk. Dia dicengkam kesunyian apabila ditinggalkan sendirian. Hari minggu yang sepatutnya bermakna bagi sesebuah keluarga, tiada makna di dalam dirinya saat itu. Dia sedih. Pilu. Suasana di dalam rumah yang sunyi menambahkan kepiluan. 4 tahun yang lalu dia cukup bahagia di samping insan tercinta. Bermadu kasih, berkongsi rasa. Dia adalah isteri yang terbaik di mata suaminya. Dia bangga. Walaupun dia bekerjaya, dia masih menitikberatkan hal suaminya. Makan dan pakai suaminya sentiasa disediakan dengan tulus ikhlas. Jarang mereka membeli kuih muih kerana dia pandai membuat sendiri. Apa sahaja yang diminta suaminya, dia akan berusaha untuk menyediakan. Tapi itu semua kenangan lalu. Saat bahagia selama 2 tahun selepas perkahwinan. Kemudian, 2 tahun berikutnya kehambaran mula bertamu sedikit demi sedikit.


     Dia redha dengan ujian yang dilaluinya. Dia tidak pernah mengeluh. Usia perkahwinan sudah menjangkau 4 tahun, namun cahaya mata pengikat kasih masih belum mereka perolehi. Mereka diuji tanpa kehadiran zuriat. Sebagai seorang wanita, hatinya cukup tersentuh apabila soalan yang sama sering diajukan kepadanya.

     Rezeki datang dari Allah. Apa yang dia berikan kita harus redha. Kita hanya mampu merancang dan berusaha. Segala ketentuan ditentukan olehNYa. Salah dia kah kerana tidak mampu memberi zuriat? Dia sudah berikhtiar. Dari segi perubatan moden dan tradisional, dia tiada masalah. Suaminya pula seringkali mengelak. Tetapi, ujian diberikan kepadanya. Suami tercinta seakan menyisihnya. Suami yang didamba selama ini seakan mula menjauh.


     Aduhai suami.. mengapa dikau begitu?



Nukilan asal,
Mar..






Catat Ulasan

0 Ulasan

Ad Code