Ad Code

Ticker

6/recent/ticker-posts

Wangi Firdausi - Ceritera Semalam


    
     Kisah percintaan mereka bermula ketika mereka sama-sama menuntut di sebuah kolej swasta di ibu kota. Lelaki di tahun akhir manakala perempuan baru saja menjejakkan kaki di kampus. Perkenalan bermula saat lelaki membantu perempuan yang tergelincir ketika membawa barang. Sejak itu mereka sering kelihatan bersama-sama. Hubungan mereka dihidu oleh emak perempuan ketika perempuan pulang ke kampung. Perempuan terlalu asyik melayan sms dari lelaki. Ibu perempuan menasihati perempuan kerana dia baru saja di semester pertama dan berharap perempuan tidak mengecewakan harapan mereka berdua.

     Setelah beberapa lama mereka berkawan, lelaki berhajat meminang perempuan walaupun masing-masing belum tamat pengajian dengan alasan untuk mengelakkan maksiat. Keluarga perempuan menentang keputusan mereka tetapi hujah-hujah yang mereka berikan membuatkan ibu dan ayah perempuan tidak dapat menghalang lagi. Bagi mereka, mereka sudah cukup besar untuk membuat keputusan dan sudah cukup pandai setelah menjejakkan kaki ke pusat pengajian tinggi. Suka atau tidak, ibu perempuan terpaksa menelan keputusan itu walaupun hatinya sedikit terkilan. Perempuan juga sudah berjanji dengan ibunya yang dia akan tetap menghadiahkan segulung ijazah walaupun dia sudah berkahwin. Janji perempuan sedikit sebanyak telah mengubat hati ibu.


     Selepas berkahwin, lelaki menyewa sebuah bilik berhampiran kolej. Selain mendapat bantuan dari PTPTN, lelaki juga membuat kerja sambilan di sebelah petang hingga ke malam. Di pagi hari, lelaki perlu menghadiri kuliah. Lelaki tidak mahu mensia-siakan masanya kerana dia sudah berada di tahun akhir. Kehidupan mereka cukup bahagia dan tidak berap lama kemudian, perempuan disahkan hamil. Ekoran keadaan perempuan yang tidak mengizinkan, perempuan terpaksa menangguhkan pengajian selama 2 semester. Ibu perempuan sedikit terkilan tetapi dia gembira kerana bakal menimamg cucu dan tetap berharap perempuan akan mengotakan janjinya. Dalam tempoh perempuan berbadan dua, perempuan terlalu mengada-ngada dan merajuk sekiranya permintaannya tidak dituruti. Lelaki tetap melayan karenah perempuan dengan penuh sabar.

      Akhirnya lelaki berjaya menamatkan pengajiannya. Sementara belum mendapat pekerjaan yang setaraf dengan pendidikannya, lelaki bekerja di sebuah kilang sebagai oerator pengeluaran. Mereka juga berpindah ke rumah sewa yang lebih selesa berbanding hanya menyewa bilik sebelum ini. Perempuan sudah sarat mengandung ketika suaminya dinaikkan pangkat. Kerja baru lelaki pula ada shift dan memerlukan komitmen yang tinggi. Situasi itu memaksa lelaki meminta bantuan ibu mertuanya untuk menjaga perempuan. Perempuan dihantar ke kampung. Ketika di kampung, perempuan sering ditegur ibunya kerana dia asyik berbaring menonton televisyen, tidak mahu membantu ibunya membuat kerja rumah dengan alasan dia tidak larat.

     Beberapa hari kemudian, perempuan selamat melahirkan bayi perempuan. Perempuan termakan pujukan seorang jiran kampung yang merupakan penjual jamu. Perempuan lebih mementingkan kecantikan badan sehingga tidak mahu menyusukan anak. Anaknya yang masih bayi itu lebih banyak dijaga oleh ibunya. Perempuan lebih berminat membaca majalah. Setelah sebulan, lelaki pulang ke kampung menjemput perempuan pulang. Terpaksalah perempuan menjalankan tanggungjawab sebagai seorang ibu. Sikap endahnya selama ini menyebabkan perempuan tidak tahu hendak menjaga bayinya sendiri, hatta menukar lampin pun dia geli.


     Ibu perempuan tetap menuntut janjinya. Perempuan memberi alasan tiada orang akan menjaga anaknya nanti. Ibu perempuan hanya mengiakan dan cuba memahami keadaan anaknya itu. Keinginan perempuan untuk memiliki kereta sendiri akhirnya diluahkan kepada suaminya. Lelaki menerangkan keadaan ekonomi mereka yang belum stabil. Perempuan mengeluh kerana hajatnya tidak kesampaian. Ujian melanda lagi apabila lelaki diberhentikan kerja ekoran ekonomi kilang tempatnya berkerja tidak menentu. Lelaki sedikit buntu untuk mencari sumber kewangan lain. Akhirnya dia bekerja di kilang lain pula walaupun gaji yang diberikan tidak sebanyak gaji yang dia perolehi di kilang lama. Perempuan nekad untuk membantu lelaki dengan bekerja sebagai kerani . Anak mereka pula akan dijaga oleh jiran.

     Berikutan perempuan sudah bekerja, perempuan sudah tawar hati untuk menyambung pengajian. Keputusan perempuan amat mengecewakan ibunya. Lelaki pula menyokong keputusan perempuan kerana bagi lelaki, perempuan sekarang sudah berada di bawah tanggungjawabnya. Kata-kata lelaki membuat ayah perempuan rasa sedikit terkilan. Kini, mereka sudah mampu memiliki kereta sendiri. Pada pandangan perempuan, tidak perlu dia belajar lagi untuk mengejar ijazah sekiranya mereka sudah mampu memiliki apa yang mereka mahu. Tanpa perempuan ketahui, lelaki membuat kerja sambilan sebagai pengedar dadah secara kecil-kecilan. Kemewahan itu membutakan hati lelaki. Dia bercadang membawa perempuan berbulan madu ke New Zealand. Bayi mereka pula ditinggalkan dengan pengasuh selama seminggu dan akan dijanjikan bayaran lebih untuk bulan itu. Lelaki tidak mahu keluarga perempuan dan keluarganya tahu yang dia mampu melancong ke luar negara.

     Ketika berada di negara orang, lelaki mendapat panggilan kecemasan. Bayi mereka ditahan di wad ICU berikutan terdapat kesan-kesan penderaan. Penyiasatan polis telah membuktikan bahawa pengasuh mereka yang melakukan penderaan itu. Doktor menasihatkan agar pembedahan segera dilakukan untuk menyelamatkan bayi mereka. Perempuan mendesak lelaki agar mencari hospital pakar yang terbaik untuk merawat bayi mereka. Lelaki terpaksa akur walaupun kos di hospital pakar agak tinggi. Dalam keadaan terdesak, lelaki mengambil keputuasan berani untuk mengedar dadah secara besar-besaran untuk mendapatkan wang segera. Tanpa lelaki sedari, di malam dia melakukan kerja kotor itu, polis sudah membuat intipan dan dia tertangkap. Berakhirlah titik noktah bagi seorang lelaki setelah mahkamah menjatuhkan hukuman gantung sampai mati. Bayinya pula telah meninggal dunia di saat dia menjalankan kegiatan haram itu.

     Satu kisah yang menjadi pengajaran kepada semua. Drama ini telah disiarkan di TV2 pada hari sabtu (03/03/2012). Antara pengajaran:-
  • Setiap apa yang kita lakukan perlulah mendapatkan restu ibu bapa.
  • Di dalam perkahwinan, banyak dugaan dan rintangan lebih-lebih lagi berkahwin di usia muda dalam keadaan ekonomi yang tidak kukuh.
  • Fahami dan belajar untuk memahami pasangan masing-masing.
  • Belajar untuk jadi terbaik untuk suami.
  • Tidak mudah terpengaruh dengan nikmat dunia.
  • Wang boleh mengaburi mata dan iman.
  • Jaga solat tiap waktu kerana solat adalah tiang agama.
  • Kita hanya merancang, tetapi Tuhan yang menetukan.

Catat Ulasan

0 Ulasan

Ad Code