Rengekan Aisyah membuat ibu terjaga dari tidur. Liat benar mata ini untuk dibuka. Malah, mata masih tertutup sambil menepuk lembut punggung Aisyah. Aisyah senyap seketika. Berkira-kira dia sudah kembali lena, ibu kembali menyambung dengkur. Aisyah merengek lagi. Segera ibu melangkah ke dapur untuk membancuh susu. Ternyata ayah tidak berjaya memujuk Aisyah yang kehilangan ibu seketika. Buru-buru menyuakan botol susu ke mulut Aisyah, Aisyah menolak. Sumbat puting juga begitu. Diluah sambil menangis hiba. Aisyah semakin manja sekarang. Dia mahu didodoi. Ibu pangku dan dodoi sambil menepuk punggung Aisyah. Aisyah diam. Lena seketika kerana rasa kantuk yang amat sangat. Sesekali matanya terbuka melihat ibu, takut benar ibu meninggalkannya. Bunyi seolah Aisyah menelan air liur beberapa kali. Jelas kedengaran di kerongkongnya. Ibu sua botol susu dan Aisyah lahap menyedut. Haus tapi merajuk dahulu. Aisyah mudah merajuk sekarang dan perlu dipujuk dahulu baru dia mahu minum susu lagi-lagi bila dia sudah menangis terlalu lama. Menangis seakan dibanting sahaja. Aduhai anak...
Aisyah sudah lena kembali. Ibu pula yang tidak dapat tidur. Seolah-olah dipagut rasa sedih, rasa kecewa siang tadi. Dan air mata nyata terlalu murah untuk turun. Sebelum lencun bantal dipembaringan, sebelum sedu merencatkan lena sang bidadara dan bidadari kecil ibu, ibu pantas bangun melangkah ke bilik air. Cuci muka, ambil wuduk. Saat begini amat sesuai benar untuk menghadap Illahi. Sebenarnya siang tadi ibu seakan tidak boleh mengerjakan solat, ada sedikit cairan warna coklet. ibu was-was. Pulang dari tempat kerja, sampai rumah mandi-mandi, rasa bersih. Memanjatkan rasa bersyukur kerana berpeluang untuk menghadap Dia Sang Pencipta.
Usai sesi luahan hati, ibu rasa sang kantuk mulai datang bertandang. Itu petanda ibu perlu tidur. Esok ada tugas yang menanti. Tidurlah...
Nota Kaki : Kadang kala senyap tidak bermakna semuanya OK!
0 Ulasan
Terima kasih sudi membaca dan meninggalkan komen.