Ad Code

Ticker

6/recent/ticker-posts

Puteri Salju & Ibu Tirinya


Wahai cermin sakti..tunjukkan daku siapakah perempuan yang paling cantik di muka bumi ini”

Cermin bulat sebesar daun tingkap yang berbingkai sarat dengan ukiran kayu itu mula kelam mencari jawapan. Dia sedikit terkejut dengan soalan yang tiba-tiba dilontarkan oleh tuannya itu. Tapi, dia mesti keuwlll.

Dalam hatinya berdetik, “Takde soalan lain ke tuan aku ni. Hari-hari bagi soalan yang sama. Tak mencabar minda langsung!”

Setelah hampir satu jam ia mencari jawapan, cermin bulat yang tadi kelam mula menampakkan sedikit cahaya. Cermin bulat sengaja mencari jawapan lama-lama walhal jawapannya hanya di depan mata. Kalau diikutkan niat jahatnya, mahu saja dia konon-konon mencari jawapan selama 3 hari 3 malam. Biar padan muka tuannya yang perasan cantik itu.

Sejak kebelakangan ini, tuannya itu sering benar mengutarakan soalan yang sama sehingga dia mulai bosan. Mungkin tuannya itu sudah sedar diri kot. Yela, dia bukannya secantik 20 tahun yang lalu lagi. Garis-garis tua di mukanya sudah mulai kelihatan.

Wajah seorang perempuan cantik muncul dari dalam cermin. Berambut ikal dan berwarna perang kehitaman. Punya bulu mata yang lentik. Lesung pipit jelas kelihatan di pipi kanan tatkala dia tersenyum. Cantik sekali. Sedang asik menyanyi sambil menari-nari dan di kelilingi pelbagai jenis haiwan yang comel-comel belaka.

Wahai cermin sakti siapakah perempuan jahanam itu?? Bukankah beta yang paling cantik? Semalam, wajah beta yang dikau persembahkan. Kenapa hari ni wajah perempuan lain??”


Tuan cermin bulat sakti naik berang. Suaranya bak halilintar membelah langit memarahi cermin bulat sakti itu.


Maaflah Tuanku Permaisuri. Tuanku sendiri tahu yang hamba tidak pandai berbohong. Ampun tuanku”

Permaisuri terdiam. Sekali lagi dia memandang wajah cantik di dalam biasan cermin bulat sakti itu. Bila diamati, baru dia sedar itu adalah wajah anak tirinya, Puteri Salju. Puteri Salju baru saja menyambut ulang tahunnya yang ke-18 malam tadi. Sekelip mata sahaja title perempuan jelita tanggal dari dirinya. Bagaimana dia boleh tidak sedar akan hal ini.

:
:
Permaisuri mencemburui akan kecantikan Puteri Salju meskipun dia tidak putus-putus mengatakan pada diri sendiri bahawa dia lah yang tercantik. Gelaran perempuan jelita hanya layak untuk dirinya.

Permaisuri mulai menyusun strategi jahatnya.

Pertama, dia harus pura-pura baik dengan anak tirinya itu dan mengajaknya bersiar-siar. Kemudian, dia tinggal saja Puteri Salju di tengah hutan. Pulang ke istana, berlakon dengan sungguh-sungguh, pasti saja Raja akan percaya. Menceritakan akan kehilangan Puteri Salju sambil tersedu-sedu. Hendak lagi best, beritahu saja Raja yang Puteri Salju sudah dibaham dek harimau.


"Tapi tuanku, Puteri Salju tu kan sayang akan haiwan-haiwan. Mesti harimau tak sampai hati nak baham dia. Ntah-ntah dia seronok kat hutan tu"

Permaisuri menjeling cermin bulat sakti dengan ekor matanya. Cermin bulat menundukkan wajahnya. Bukan takut tetapi tak sanggup hendak melihat wajah hodoh permaisuri tatkala marah.

"Ada benar juga kata-kata kau tu wahai cermin sakti"

Akal jahatnya mula merangka strategi berikutnya. Ya, dia akan menggunakan kuasa sakti dan menyamar sebagai nenek tua yang tidak bermaya. Pasti saja Puteri Salju yang baik hati itu akan kasihan padanya. Pastu, nak buat apa?

Sedang dia mundar mandir dia terpandang semangkuk buah-buahan di atas meja. Ada epal, anggur,pisang, limau dan macam-macam lagi. Dia pantas mencapai sebiji epal merah. Dia tahu Puteri Salju amat gemar makan epal merah.

Epal merah ini akan diletakkan racun. Cukup hanya dengan sekali gigitan, dia pasti akan rebah dan akan mati. Dia tersenyum lebar dan kemudian dia tergelak sendiri.

"Apa yang tuanku nak buat dengan epal merah tu? Tuanku kan paling tidak suka makan epal"
Cermin bulat sakti mengajukan soalan.


"Beta nak racun dia la bodoh!"

Sekali lagi cermin bulat sakti menundukkan wajahnya.


Tok. Tok.
*Bunyi pintu diketuk dari luar*


Terpacul wajah ayu Puteri Salju di balik daun pintu. Diam melangkah dengan tertib dan sopan santun. Bibirnya yang mungil sentiasa mengukir senyuman.

"Mama..Salju dah dengar semua yang mama rancangkan. Salju sedar salju hanya anak tiri mama. Tapi Salju tidak marah."

"Tiba-tiba buat baik dengan aku kenapa?" Permaisuri memeluk tubuh dan memalingkan wajahnya.

"Mama, mari Salju tunjukkan sesuatu pada mama!"

Puteri Salju pantas saja menarik lengan Permaisuri. Permaisuri yang agak terkejut dengan tindakan anak tirinya itu tidak mampu menolak sebaliknya hanya menuruti tanpa sepatah kata.

:
:
:
:


"Mama, 'cermin' ini lebih bagus dari cermin mama yang bulat tu."

Permaisuri sedikit tercengang. Cermin apakah yang berbentuk segi empat itu.

"Mama duduk di kerusi ini"

Puteri Salju segera menarik kerusi dan memaksa permaisuri duduk di hadapan cermin bentuk petak itu.

Permaisuri tercengang lagi. 'Cermin' apakah ini? Bermacam-macam cerita boleh dibaca. Pelbagai gambar boleh dilihat. Cepat dan pantas menjawab segala pertanyaan. Tidak seperti cermin bulat sakti. Lembab.

Permaisuri semakin khayal dan seronok dengan 'cermin' petak itu. Lantaran keseronokan itu, dia tidak segam silu untuk bertanya macam-macam dengan Puteri Salju. Puteri Salju pula semakin ramah melayani karenah ibu tirinya.

"Mama, bawa saja ke kamar Mama 'cermin' ini. Nanti Salju minta pada papa untuk beli yang baru untuk Mama. Nanti Mama pulankan pada Salju bila 'cermin' baru dah sampai".

Permaisuri sedikit terkejut. Dia merangkul erat tubuh Puteri Salju lama. Kemudian, dia melangkah pergi meninggalkan kamar Puteri Salju sambil membimbit 'cermin' petak. Setibanya di kamarnya, 'cermin' petak diletakkan di atas meja. Dengan wajah tersenyum-tersenyum, Permaisuri memerhatikan 'cermin' itu sambil tangannya ligat menekan-nekan punat-punat yang terdapat pada 'cermin'.

Hari demi hari, itulah aktiviti Permaisuri. Dia tekun menghadap 'cermin' petak sehingga kadang kala sehari suntuk. Permaisuri terlalu asyik dengan hobi barunya. Semua orang di dalam istana turut menyedari akan perubahan sikap Permaisuri itu. Permaisuri lebih gemar berkurung di dalam kamar dan memesan dihantarkan makanan tanpa henti.

:
:
:
:
:
:
:
:
:
Di suatu petang yang damai...

"Wahai tuanku Permaisuri, tidakkah tuanku sudi bertanya pada hamba lagi? Hamba lihat, permaisuri terlalu asyik dengan 'cermin' petak itu siang dan malam. Duduk dan makan. Kemudian, ketawa seorang diri. Hamba pelik melihat permaisuri. Apakah tuanku sudah di bomohkan oleh Puteri Salju?"

:
:
:
:
:
:

"Sibuk la kau ni cermin sakti! Beta tengah berfesbuk nih!"

Sejak hari itu cermin bulat semakin tersisih. Cermin bulat sakti masih lagi tidak tahu apa itu 'fesbuk'. Yang dia dapat lihat, dari hari ke hari badan permaisuri semakin berisi. Permaisuri juga sudah tidak membenci akan Puteri Salju. Dengan dayang-dayang juga, permaisuri tidak pernah meninggikan suara.

Cermin bulat sakti semakin berkecik hati. Khidmatnya sudah tidak diperlukan lagi. Suatu hari permaisuri mengarahkan khadam untuk mengalihkan cermin bulat sakti. Saat cermin bulat sakti diangkat, salah seorang khadam terlepas akan ia lalu cermin itu berderai di atas lantai. Permaisuri yang melihat akan cermin itu jatuh dan pecah hanya mengarahkan khadam membuang serpihan cermin yang pecah itu segera sebelum orang lain terluka terpijak akan ia.

Maka, tamatlah riwayat si cermin bulat sakti.







Catat Ulasan

0 Ulasan

Ad Code