Ad Code

Ticker

6/recent/ticker-posts

Aku Manusia Biasa

Wahai hati, seringkali dikau bersabar mendengar cela beserta tohmahan yang tidak kita perasankan. Kata senda atau hanya gurauan cuma. Saat sang telinga merasakan tempias-tempias celaan, sang wajah memimikkan wajah ceria. Namun, di dalam hati tiada siapa yang tahu melainkan DIA Sang Pencipta.


Sabar itu indah..


Indahnya umpama pelangi yang mewarnai alam selepas hujan renyai.

Pelangi itu cantik. Siapa yang tidak terpegun melihat pelangi?

Tetapi pelangi akan hilang jua bila tiba saatnya. Ia tidak akan kekal di situ selama-lamanya tetapi ia berjanji akan muncul kembali selepas hujan renyai.

Hujan renyai itu musibah.

Pelangi pula adalah hikmah.




 


Andai ujian melanda, bermuhasabahlah. Usah merungut dan melampiaskan amarah yang tidak akan ke mana-mana.

Ujian untuk mengentalkan iman di dada, bukannya satu pembalasan yang kita tidak ketahuan asal usulnya. Usah membuat andaian melulu kerana ia hanya membawa perkhabaran yang mungkin menjadi punca perbalahan.

Seringkali, bila berlaku kejadian buruk, mudah sekali kita menempelak dengan berkata,"itulah hukum karma.."

Aduhai sahabat, usah begitu.

Sedarkah kita siapa kita? Kita ini cuma manusia biasa. Tidak punya apa-apa. Siapakah kita untuk menjatuhkan hukum? Tahukah kita apa itu hukum?

Imanku hanya senipis kulit bawang. Aku akui.

Jangan dikeji andai ada yang ditimpa musibah. Anggaplah ia satu pengajaran bukannya pembalasan. Allah itu Maha Mengetahui. Ternyata ada hikmah di sebalik apa yang berlaku kerana DIA lebih mengetahui.



Ikut hati, kita akan mati..


 

Kurniaan yang tiada ternilai dariMu adalah akal. Dengan akal, kita mampu berfikir ke manakah hala tuju kita di dunia ini. Antara benar atau salah. Antara kanan atau kiri. Namun, kadang kala kita sendiri tidak mampu menggunakan akal yang waras kerana ceteknya ilmu.

Kita lebih suka mengikut hati. Remuknya hati kita, hati dia juga harus remuk sama.

Tatkala amarah menjelma, hati akan menjadi bara. Andai dicurah air, bara akan padan dan mulai sejuk. Namun, andai dicurah minyak, bara akan marak menjadi api dan mulai memusnahkan yang berada di sekelilingnya. Wahai akal, di mana yang lebih baik?




Lebihan nikmat mahupun rezeki..


Betapa megahnya kita tatkala memperoleh rezeki berlipat ganda. Megahnya kita mempamerkan harta. Nah, kita pun berkata,"inilah rezeki..hasil titik peluhku.."

Ya, rezeki itu dariMu Ya Allah. Tapi, seringkali kita terlupa sekecil zarah sekali pun rezeki kita, terselit jua rezeki insan lain.

Ada pula di kalangan kita berkata dengan megahnya,"usahalah..malas usaha begitu lah.."

Ya, usaha itu juga dariMu Ya Allah. Mungkin kita sudah berusaha namun rezeki tetap bukan milik kita. Usah menyerah kalah. Anggap semua ini adalah ujian. Teruskan usahamu diselangi doa tawakal, moga lebih diberkati.

Seringkali hati ini bertanya di manakah letaknya kelebihan & kekurangan seorang itu dari kaca mata orang lain?

Adakah dari segi cantik paras rupanya?

Adakah dari segi melimpah ruah hartanya?

Adakah dari segi kelebaran dan kebesaran rumahnya?

Atau adakah dari segi kerjayanya samada dia seorang doktor atau jurutera atau seorang kuli sahaja.

Kuakui diri ini tidak punya apa-apa. Sekadar meminjam nikmat dariNya. Bila-bila masa sahaja nikmat ini akan hilang. Namun, aku harus redha andai semua itu berlaku kerana itu adalah HAKNya.

Tidak perlu mendabik dada andai punya SEMUA. Sedarlah, ia hanya sementara cuma.

Kerana aku hanya manusia biasa..

Wallahuaklam..






Nota kaki : Ntah apa yang aku merepek...sambil makan kerepek..



Catat Ulasan

0 Ulasan

Ad Code