12.05.2013 - Jauh lagi untuk melihat sinar mentari pagi ahad, namum ibu kerap terjaga dari tidur kerana terdengar suara Aisyah yang tidak nyenyak tidur. Kejap-kejap Aisyah beralih tempat tidur. Bergegas ibu bangun mencari thermometer. Suhu badan Aisyah ibu ukur. Hmmm..ok lagi. Tidur tidak nyenyak adalah petanda Aisyah akan demam. Fuhhh... Tidak lena tidur ibu.
Jam 6.15 pagi, penggera jam berbunyi nyaring. Ibu bangun tapi sekadar mematikan alarm. Hurmmm... Terjaga dari tidur apabila tangan kecil Aisyah menepuk lengan kiri ibu perlahan. Suara omelannya juga kedengaran. Seakan tahu ibu belum solat Subuh lagi, si kecil mengejutkan Ibu. Bingkas bangun..mengejar Subuh yang bakal ke penghujung.
Usai solat Subuh, Aisyah sudah tersengeh-sengeh. Ibu cium-cium dan merasa suhu di kepala Aisyah. Sedikit hangat.
"Jom tido balik Aisyah..Ibu ngantuk lagi la.."
Aisyah mengikut baring di sisi Ibu. Ibu tahu mata kecil itu tidak berkedip melihat Ibu. Kemudian berpaling ke kiri melihat ayah pula. Berpaling semula melihat Ibu.
Sedar-sedar sahaja jam sudah menunjukkan 8.00 pagi. Uit!!!!...
Masak makanan Aisyah dulu. Basuh baju Aisyah. Gebar, selimut, tuala, telekung pun kena basuh. Aduh...belum mop lantai. Haihh..padan muka...tidur la lagi lepas subuh.
Sebelum Aisyah bangun, ibu paksa ayah bangun dan membeli sarapan. Ala kejap je pon...
Aisyah sudah bangun. Merengek-rengek. Ibu pinta ayah jaga Aisyah sebentar. Badan Aisyah mulai dedar. Aisyah sekadar minum susu dan beberapa suap roti canai. Ubat demam tidak sempat masuk ke mulutnya sudah ditepis dan memalingkan muka. Buat muka tak puas hati. Tukar pula isi ubat ke dalam sudu. Laju saja tangan comel Aisyah mengambil picagari yang sudah kosong. Hamboihhhh...
Jam 11 pagi, Aisyah tidur semula. Tidurnya kerap terganggu, mungkin kerana suhu badan yang panas dan tidak selesa. Ibu sapu dengan air asam jawa untuk meredakan suhu kerana Aisyah tidak mahu badannya dilap dengan air sejuk. Mandi air paip di sinki mahu pulak, siap menangis bila ibu tutup air paip.
Seharian Aisyah begitu. Tidur, bangun, merengek, lapar, makan sikit, minum susu, menangis lagi, tidur, mahu ibu dodoi dan berada di sisinya. Setiap kali Aisyah merengek, ibu sapu air asam jawa di kepala dan lehernya berserta selawat ke atas junjungan nabi. Disambung pula dengan selawat Subhanallah, Alhamdulillah, Wala Illa Haillallah, Allahuakbar..berulang-ulang kali. Aisyah tenang begitu. Aisyah sememangnya anak yang baik. Ibu nampak dari matanya yang redup merenung mata ibu tiap kali ibu usai solat.
Jam 3 petang, Aisyah merengek lagi. Ibu dokong ke sana ke mari, tetap juga merengek, menangis dengan hiba. Makan tidak lalu, minum pun sedikit. Ibu hidupkan enjin kereta, duduk di dalam kereta bersama Aisyah buat seketika. Aisyah ligat mahu memutar stereng dan kononnya mahu menukar gear. Hamboihhh...
Ibu tinggal Aisyah di dalam kereta (di dalam kerusi bayi), menyalin seluar panjang, menyapu sedikit bedak ke muka dan memakai tudung.
"Ayah, jom kita jalan-jalan jap.."
Sekadar mengisi minyak kereta, cucuk duit, beli susu formula Aisyah Dumex Mamex Explore Step 2, beli lauk mentah untuk makan malam, balik.
Sepanjang perjalanan, Aisyah hanya diam di kerusinya. Tiada bebelan manja. Hanya merenung depan tanpa ibu ketahui apa yang difikirkannya. Hampir sampai ke rumah, Aisyah sudah terlena. Sampai dalam rumah, ibu dudukkan Aisyah di atas toto. Tapi Aisyah terus baring. Diam. Alahai...sayu hati ibu. Menitik rasanya air mata ibu melihat Aisyah diam. Tidak lama kemudian, Aisyah lena kembali.
Aisyah bangun dari tidur dan merengek lagi. Sambil menarik-narik bajunya. Ibu faham, dan membuka baju Aisyah. Aisyah diam. Seronok bila ibu bawa dia ke sinki. Mandi air paip. Yeahhhh...
Selepas mandi, Aisyah kelihatan aktif. Ibu beri sekeping biskut Baby Bites perisa pisang. Laju pula Aisyah memamah, sampai tak cukup. Minum air masak sikit. Aisyah sudah mula bermain.
"Bebear..bebear.....muahhh.."
Comel dan merdu suara itu. Anak patung beruang (panda sebenarnya) dicium dan dipeluk. Tersenyum sendiri. Hati ibu sudah mulai lega. Syukur, Aisyah sudah sihat. Ubat demam ibu beri lagi meskipun Aisyah mengamuk-ngamuk, menolak.
Selepas Isyak, ibu sudah berbaring dan melelapkan mata. Ngantuk daa....
Sedar-sedar ayah sudah meletakkan Aisyah di sisi ibu. Aisyah sudah tertidur di sofa. Malam tadi seperti malam sebelumnya, tidur Aisyah tidak lena dan tidur ibu sudah pastinya. Kerap melumur air asam jawa di kepala dan leher Aisyah serta mulut tidak henti-henti berselawat. Kadang kala hati ibu sayu, menitik air mata lagi.
Pagi ini, jika Aisyah tidak kebah juga, ibu mahu memohon cuti. Tapi, Aisyah kelihatan sihat. Membontot ibu ke dapur. Tersenyum girang bila ibu mneyarung tudung. Malah tidak sabar-sabar mahu didokong ibu setelah bajunya di tukar.
Bila ibu tidak dukung, Aisyah merangkak sendiri hingga ke muka pintu. Membuka grill sliding door dan melambai-lambai ibu dengan ceria.Melihat Aisyah tersenyum, hilang segala kerisauan di dalam hati ibu.
Tok..tok..bukak pintu! ~ sehari sebelum demam
Muka yang tidak bermaya..diam tetapi sedikit air mata kelihatan meleleh..
Senyum sedikit seakan mahu ibu gembira ~ setelah ibu berulang kali meminta Aisyah senyum..
Nota Kaki : Antara anak dan amanah...
2 Ulasan
Syafakillah aisyah... Moga cepat sembuh ye ;-)
BalasPadamterima kasih...mlm td badan dia panas jugak..:(
BalasPadamTerima kasih sudi membaca dan meninggalkan komen.