Kisah 18 September 2013.
"Aisyah..aisyah..aisyah.."
Ibu terdengar suara ayah memanggil Aisyah. Ibu yang baru keluar dari bilik air berhampiran dapur terburu-buru masuk ke bilik utama. Baru sekejap tadi Aisyah tidur dan dikesempatan itu ibu ke bilik air hanya 5 minit. Mata Aisyah terbuka, tidak berkedip, ntah apa yang diperhatikannya. Ibu panggil nama Aisyah berulang kali. Badannya ibu pegang sana sini. Keras kejung.
Ayah segera menyuruh ibu bersiap. Sepantas yang mungkin. Dan mulut ayah tidak henti-henti berkata..
"Cepat..cepat..cepat..cepat.."
Ibu semakin tidak keruan. Baju Aisyah, pampers, minyak yu yu, vicks, bakul susu Aisyah yang lengkap. Setelah semua lengkap, ibu ambil Aisyah dikendongan ayah. Ayah minta ibu pakaikan Aisyah dengan baju sejuk. Ibu bantah. Seolah ribut melanda sebentar dan ibu capai sehelai tuala Aisyah dan sekadar membalut badan Aisyah. Ibu tidak yakin untuk membalut badan Aisyah. Badannya panas. Dan doktor di klinik yang kami selalu kunjungi sering berpesan agar tidak menyelimuti anak andai anak demam. Mandikan. Tuam dengan air biasa hingga suhu turun. Mata Aisyah sudah ke atas pula kemudian seperti biasa tetapi badannya tetap kaku.
Nah..sekarang ayah berkeras mahu Aisyah dibalut. Tidak!
Ibu menempelak. Aisyah kecil lagi, bukan seperti kita yang sudah tua. Tahu erti sejuk. Tahu erti panas tanpa berkata kepada sesiapa. Aisyah terlalu kecil malah tidak tahu bercakap. Ikut sahaja saranan doktor setiap kali anak demam.
Bergegas masuk ke perut kereta. Ayah memandu seperti biasa. Tiba-tiba dengar Aisyah melepaskan das pelurunya. Crett..crett...
Aisyah berak! Berpatah ke rumah semula untuk menyalin lampin pakai buang Aisyah. Ibu cuci Aisyah seperti biasa. Aisyah seolah-olah terpinga-pinga. Melihat ibu dengan sayu. Tetapi tiada suara yang keluar. Diam membisu. Selesai menyalin lampin, hospital menjadi tempat tuju kami. Tiada pilihan lain. Ini adalah pengalaman pertama kami dan Aisyah adalah buah hati pertama kami. Terus terang ibu katakan, ibu tidak tahu hendak berbuat apa. Hanya doa mampu ibu alunkan sepanjang perjalanan ke hospital. Aisyah seakan tidur-tidur ayam. Sesekali dia celik, memandang ibu.
* * * * *
Akhirnya, pihak hospital menahan Aisyah. Terlalu banyak masa terbuang ekoran menunggu pelbagai prosedur. Ibu redha. Yang penting kebaikan Aisyah. Hendak ke hospital pakar, harus mempertaruhkan wang yang banyak malah terpaksan mengorek duit simpanan. Tawakal dan berdoa agar Aisyah cepat sembuh. Doa adalah senjata seorang muslim. Jangan sombong untuk berdoa dan jangan memperlekahkan orang yang berdoa.
Setelah Aisyah ditempatkan di katilnya, seorang doktor pelatih datang dan membuat pemeriksaan. Bermacam-macam soalan yang ditanyanya untuk dicatatkan di dalam laporan.
Aisyah ditempatkan dia katil 7, wad bunga raya 4, Hospital Sultanah Aminah.
Jam menunjukkan hampir jam 3 pagi tatkala seorang jururawat yang bertugas mengejutkan ibu yang sudah terlelap. Suhu badan Aisyah naik lagi. Badannya ditekup dengan tuala basah manakala kepalanya dilap dengan tuala basah juga. Ibu mengambil alih tugas jururawat tanpa banyak alasan. Mengelap lembut tubuh kecil itu. Celah ketiak, leher, dilap dengan iringan doa.
Aisyah marah apabila tuala basah diangkat dari badannya. Dia menggenggam erat bucu tuala basah itu tanda tidak mahu diusik. Sesekali ibu mengusiknya dengan menyelak kain basah tersebut. Aisyah merengek.
Jam 4 pagi, masa untuk memberi makan ubat. Amat-amat susah. Mengamuk Aisyah kerana tidak mahu menelan ubat tersebut dan tidurnya terganggu. Berjaya juga dihabiskan 4ml ubat demam. Kali ini ubat antibiotik tidak diberi gara-gara Aisyah muntah setelah menelan setitik sahaja ketika sesi jam 12 tengah malam. Walaupun berjaya diberi hampir 2ml tetapi itu tidak membawa apa-apa erti kerana Aisyah memuntahkan semula segala isi perutnya termasuk ubat demam yang baru diminum. Justeru itu, suhu badannya kembali naik mendadak.
* * * * *
Senyuman itu membuatkan ibu berasa lega. Hilang segala penat menjagamu semalaman. Suara comel itu bergema. Tangan kecil itu melambai mesra. Keramahannya kembali seperti sediakala. Seolah-olah dia tidak pernah demam sebelum ini.
Telatahnnya menghiburkan hati. Kembali aktif seperti selalu. Mula memanjat tiang katil tanpa mengerti erti bahaya.
Aisyah yang kusyuk bermain botol.
Tengahari itu, Aisyah dibenarkan pulang.
Kesan kisah ini, ibu dan ayah diajar cara-cara menangani anak menghidapi sawan. Mungkin di entri berikutnya.
Nota Kaki : Super duper busy lagi..huhu
1 Ulasan
aishah terkena sawan ya. semoga semuanya baik baik saja. Anak saya pun demam juga minggu lepas.
BalasPadambanyakkan bersabar ya
Terima kasih sudi membaca dan meninggalkan komen.