Bayinya sedang lena di atas tilam. Wajah suci itu direnung sayu. Menilik kesalahan apa yang telah dilakukan oleh bayi itu. Hari ini dia membelek badan bayinya lagi. Kesan lebam-lebam ada lagi. Yang semalam belum lagi hilang, hari ini sudah bertambah.

Hatinya bagai dirobek-robek. Pedih. Pilu. Kasihan pada buah hatinya itu.

Airmatanya tumpah jua tatkala mengenangkan perilaku tidak bermoral itu. Apakah salah yang dilakukan oleh bayi itu hingga ada yang sanggup meninggalkan kesan sebegitu. Tidak kasihankah orang itu? Duit mahu, jaga ala kadar sahaja. Mana boleh macam tu.

Anak yang dikandungnya selama 9 bulan 10 hari, menahan sakit berjam-jam lamanya ketika saat melahirkannya, malah berpantang lagi 44 hari dan bersengkang mata menjaganya.

Begitu mudah orang luar menjentik anaknya bagai barang tidak bernyawa. Kalau anaknya itu sudah besar, mungkin boleh diterima. Bayinya baru berusia 3 bulan. Masih terlalu kecil, malah tidak mengerti apa ada disekelilingnya. Yang dia tahu, menangis, menangis dan menangis.

Kalaulah diberi pilihan, dia mahu mengasuh bayinya sendiri. Tapi, pilihan itu masih jauh untuk digapai. Dia perlu bekerja. Mahu diharapkan gaji suaminya, apalah sangat. Sewa rumah, ansuran kereta, lampin anak, semua itu memerlukan wang. Dia belum bersedia untuk berhenti bekerja lagi. Usia perkahwinannya juga masih muda. Dan dia redha kerana dia sedar yang dia bukan dari orang yang senang.

============================================


Bermula semalam (Isnin), seorang bayi perempuan berusia 3 bulan diasuh oleh 'emak' Aisyah. Jauh juga dihantar dari Taman Scientex ke Taman Rinting.

Dari sudut hati kecil ibu, ibu sudah mula tidak selesa apabila pengasuh suda bertambah asuhannya. Bermula dari Aisyah seorang, kemudian bertambah seorang dan kini sudah ada 3 orang semuanya. 

Ibu tahu niat pengasuh untuk membantu orang lain, tetapi ibu yang tidak selesa dan mula berkira-kira untuk mencari pengasuh lain yang kalau boleh hanya mengasuh anak-anak ibu sahaja. Manalah tahu Aisyah dapat adik lagi, kena fikir panjang untuk hantar ke mana pula.

Aisyah jeles. Semalam petang, dia tiba-tiba dedar dan merengek tak sudah-sudah. Pengasuh kata, Aisyah tak suka bila bayi itu diribanya. Aisyah suruh bayi yang tidak tahu apa-apa itu ke tepi. Aisyah sukakan baby tapi mungkin kerana dia tidak sihat, dia berperangai macam tu.




Nota Kaki : Teringin nak duduk di rumah mengasuh anak..