Ad Code

Ticker

6/recent/ticker-posts

#Cabaran20Hari - Memori Raya 90an atau Zaman Kanak-Kanak


Tahun 90an adalah zaman saya masih kanak-kanak. Kalau diimbau kembali zaman itu memang jauh berbeza dengan zaman sekarang. Pengalaman bermain galah panjang, guli, gasing, masih wujud.

Masa tu raya pun sangat-sangatlah bersederhana. Dapat makan ketupat dan rendang daging sudah rasa cukup mewah. Paling seronok bila baju raya sudah disiapkan oleh emak. Terus saja sarung ke badan. Belum termasuk kasut raya, beg raya.

Masa tu kami jarang dapat pulang ke kampung. Kalau pulang ke kampung perlu menaiki bas. Zaman itu kalau dapat duit raya 50 sen pun sudah cukup besar. Pusing satu kampung beraya, tidak ada siapa yang marah. Bila sudah penat, singgah kedai beli jajan dan aiskrim. Beli dengan duit raya yang diperolehi. Esoknya, sambung lagi beraya rumah makcik-makcik yang belum pergi.

Saya ingat lagi jarang makcik pakcik ni tutup pintu, tak bagi kami masuk beraya. Benarkan kami masuk, pelawa kami makan kuih raya, minum air yang dituang hingga habis, kemudian mengundur diri. Bersalaman, dapatlah duit raya walaupun hanya 30 sen, 50 sen. Tak macam budak sekarang, bagi seringgit diorang mengeluh. Nak duit raya banyak mintak mak pak sendiri. Siap menipu pula tu cakap tak dapat duit raya lagi.

Bila kehidupan semakin selesa sedikit, abah pun melaburkan sedikit wang membeli kereta 2nd jenis Datsun. Dapatlah kami pulang ke kampung dan beraya ke rumah saudara mara lain. Bersempit-sempit di dalam kereta sudah menjadi satu kebiasaan masa tu. Yang penting dapat berjalan.

Nenek pula seperti biasa akan menyiapkan kuih raya tradisi. Bakar bahulu dengan sabut kelapa, kukur kelapa dengan pengukur kelapa bentuk kuda tu.

Belum bab mengejar ayam belaan nenek untuk disembelih. Biasanya takde pun adegan kejar -mengejar ni. Abah saya bukak reban, tangkap kaki ayam terus. Kemudian, sembelih. Kami sudah biasa melihat abah menyembelih ayam. Memang jarang membeli ayam zaman dulu sebab ayam bela banyak dalam reban. Dibela untuk dijadikan lauk di pagi raya.

Abah melarang keras kami bermain mercun dan bunga api. Dia kata membazir. Tapi, kami dapat juga main bunga api di malam raya dek dikasihani oleh emak. Emak belikan juga walaupun hanya beberapa batang seorang. Masa tu dapat main bunga api batang warna warni tu pun dah cukup buat kami tersenyum lebar. Berbeza dengan bunga api zaman sekarang, bakar kejap je habis. Tak sempat nak lari 100 meter pun. Mercun, memang tak dapat main. Bila adik-adik  bujang saya sudah besar barulah ada bunyi berdentam dentum di hadapan rumah.

Rindu saat itu. Masih segar dalam ingatan saya segala kenangan itu. Gambar semua ada di kampung, tak dapat nak kongsikan di sini. Seolah tidak percaya saya sendiri sudah memasuki usia 31 tahun hujung tahun ini. Alangkah bahagianya jika anak-anak kita dapat merasai keseronokan zaman kita kan.






Catat Ulasan

4 Ulasan

  1. Seronok kenangakan zaman kanak-kanak kn.

    BalasPadam
  2. Hhmmm..mmg seronok zaman kanak2 dulu...mcm2 fesyen mak jahit baju raya...huhu

    BalasPadam

Terima kasih sudi membaca dan meninggalkan komen.

Ad Code