Usianya kian bertambah. Seolah tidak percaya, dia si kecil yang berada di dalam kandunganku selama 9 bulan 10 hari. Yang aku jaga dalam tempoh berpantang selama 44 hari. Yang aku belai, peluk cium saban hari. Hari ini dia sudah besar. Dia semakin petah berkata-kata. Buat kami tersenyum selalu.

Adakalanya aku rasa sayu. Saat melihat dia tidur keletihan setelah seharian bermain, sedangkan masa yang kuluangkan bersamanya hanya beberapa jam. Kadang kala hanya beberapa minit sebelum dia tidur.

Dia kerap menyebut mahu ke sekolah. Tahun depan, usianya 4 tahun. Mungkin ada yang berpendapat, bagus dia ke sekolah. Dengan yuran tadika yang semakin mahal dari tahun ke tahun. Tapi, hatiku risau sebab dia masih bayi kecil. Ye, dia masih kecil di mataku. Belum ditambah kerisauan bab menghantar dan menjemputnya dari sekolah.

Tempoh hari, melewati kawasan perumahan Taman Rinting (dekat je dengan rumah), dia ternampak sebuah tadika gah. Ye, Tadika Nuri. Memang cantik, besar, bak sebuah istana.


Aisyah : Ibu, sekolah! Cantiknya sekolah tu ibu. Saya nak sekolah situ la ibu.


Aku hanya mampu tersenyum.


Aisyah : Seronoknya sekolah. Bye ibu, saya pergi sekolah.


Aku tersenyum lagi. Tanpa sedar, airmataku bergenang.

Dalam hati berbisik, "Dia sudah besar..."