Seorang ibu tidak pernah putus mengalunkan doa buat anak-anak mereka. Begitu juga seorang ayah. Setiap kali berteleku di hamparan sejadah, mereka mengingati anak-anak yang kian berjauhan. Satu persatu kenangan akan menggamit rasa, keletah setiap anak dari sulung hingga ke bongsu.

Hari ini, kudrat mereka semakin menyusut. Mana yang masih kuat, alhamdulillah. Anak yang diberi peluang menjaga kedua ibu bapa mereka, ucapkan syukur. Kerana saban hari, tidak risau untuk terus menatap wajah suci orang tua. Pengorbanan yang mereka berikan tidak mampu kita balas.

Emak dan abah saya di kampung. Apa yang saya mampu lakukan hanya berdoa sentiasa agar kedua ibu bapa saya sentiasa dilindungi. Mereka hanya berdua di kampung. Adakalanya mereka sihat. Adakalanya, mereka demam. Saya bersyukur kerana kedua mereka hanya dihinggapi demam-demam biasa meskipun ada kalanya berlarutan hingga seminggu.

Berbual dan berbicara melalui telefon, mereka kata, sihat-sihat sahaja. Adakala saya dapat menghidu kesihatan mereka yang terganggu. Lebih-lebih lagi emak.

Kerap juga abah mencuri-curi telefon saya ketika emak sedang tidur, mengkhabarkan kepada saya yang emak demam. Apa tidaknya, emak enggan mengangkat telefon, khuatir suaranya yang serak-serak basah bakal mengundang resah hati anak-anak. Emak kata, sms sahaja, murah.




Emak dan abah adalah segalanya bagi saya. Pendek kata, kalau boleh mahu tidur bawah ketiak emak. Mahu mencium tangan mereka setiap hari. Saya jarang menelefon emak tapi kerap bersms.

Setiap saat saya mengingati mereka sebab saya rindu dan sayangkan mereka.



Nota Kaki : Terjumpa quote ni..mendalam maksudnya kan..